Mulakan projek dalam tempoh 30 hari atau hadapi risiko kontrak ditamatkan
SPAOH - Kerajaan Sarawak memberikan amaran keras kepada kontraktor supaya mula melaksanakan projek dalam tempoh 30 hari bekerja, atau berhadapan risiko ditamatkan kontrak, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
JKR katanya boleh membuat keputusan menamatkan kontrak dalam 30 hari bagi menjimatkan masa supaya projek disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan menegaskan, sekiranya dalam tempoh 30 hari kontraktor yang dianugerahkan sesuatu projek masih tidak melaksanakan projek tersebut secara aktif mengikut jadual, ini bermakna mereka tidak berkeupayaan untuk meneruskannya dan harus dihentikan serta-merta.
"Tindakan memendekkan tempoh permulaan projek dari 100 ke 30 hari ini merupakan langkah proaktif kerajaan bagi memastikan projek siap dalam tempoh ditetapkan," ujarnya.
Beliau berkata demian kepada pemberita selepas menyempurnakan dua majlis pecah tanah bagi kerja-kerja naik taraf dua projek jalan raya di sini, hari ini.
Projek-projek berkenaan ujarnya merupakan Jalan Mara/Selangking/Ng Sela/Tanjung Paoh yang bernilai RM16 juta dan Jalan Sambungan Spaoh bernilai RM20 juta.
Dalam peraturan sedia ada Jabatan Kerja Raya (JKR) katanya, tindakan hanya boleh diambil jika projek yang telah diluluskan tidak dilaksanakan dalam tempoh sehingga 100 hari.
"Bagaimanapun, hasil perbincangan yang dijalankan merasakan bahawa tempoh 100 hari ini terlalu lama yang mana ianya harus disingkatkan kepada 30 hari sahaja," ujarnya.
Oleh itu tegasnya, JKR boleh membuat keputusan bagi menamatkan kontrak terbabit yang mana campur tangan awal ini akan menjimatkan masa termasuk memastikan proses penyiapan projek dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.
Uggah sebagai berkata bahawa tindakan sebegini bukan untuk bertujuan bagi menyusahkan para kontraktor, tetapi bagi memastikan semua projek yang telah diluluskan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Abdul Rahman Zohari Tun Openg dilaksanakan mengikut jadual ditetapkan.
“Hari ini, kami telah menyempurnakan majlis pecah tanah bagi dua projek naik taraf jalan raya yang mana penduduk yang menggunakan jalan-jalan ini pastinya mengharapkan projek ini siap mengikut jadual," ujarnya.
Justeru, beliau menyeru para kontraktor supaya berusaha sebaik mungkin bagi menyiapkan projek yang diamanahkan buat mereka mengikut jadual termasuk memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.