Warga emas hampir putus kaki, motosikal terlibat kemalangan dengan kereta di Jalan Skim B Sarikei
SARIKEI-- Seorang lelaki warga emas hampir putus kaki kanan dan luka selepas motosikal ditunggangnya terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Skim B di sini tengah hari tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Sarikei berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 12.17 tengah hari tadi.
“Pasukan kemudian dikerahkan ke lokasi dan tiba di lokasi skuad Charlie mendapati mangsa seorang lelaki warga emas hampir terputus kaki kanan dan luka terbuka di bahagian tangan kanan.
“Mangsa kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan mangsa tiada membawa kad pengenalan diri dikatakan sedang menunggang motosikal untuk ke kebun.
Mangsa dipercayai hendak keluar dari simpang sebelum bertembung dengan kereta terbabit.
Bagaimanapun, punca kemalangan masih dalam siasatan.