SKAS dikreditkan ke e-wallet SPay Global penerima 18 Feb nanti

KUCHING-- Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan dikreditkan bermula 18 Februari nanti ke e-wallet SPay Global penerima, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

"Tahun ini, kita melaksanakan SKAS yang menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat Sarawak dari kalangan keluarga berpendapatan rendah.

"Bermula 18 Februari 2025, bantuan SKAS akan dikreditkan terus ke e-wallet SPay Global penerima," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 "Sarawak Towards 2025" di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Jelas Abang Johari, dengan peruntukan RM450 juta di bawah Belanjawan Sarawak 2025, SKAS akan memastikan setiap isi rumah di Sarawak memiliki keperluan makanan mencukupi, agar anak-anak ke sekolah dalam keadaan sihat dan bertenaga untuk menimba ilmu demi masa depan yang cerah. 

Tegas beliau, SKAS melambangkan perkongsian kejayaan Sarawak dengan rakyatnya, hasil usaha bersama yang membawa kemakmuran. 

"Dengan menggunakan platform digital, kita juga dapat menyampaikan perkhidmatan awam dengan lebih cekap, memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan.

"Inilah janji dan tekad kita untuk terus membangun bersama-sama, melangkah maju, dan mencipta masa depan yang lebih baik untuk rakyat Sarawak," ujarnya.
Next Post Previous Post