Sarawak dijangka terima suntikan pelaburan RM100 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang
KUCHING-- Sarawak dijangka menerima suntikan pelaburan berjumlah RM100 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pelaburan itu akan menyokong dua projek transformatif iaitu pembinaan lapangan terbang antarabangsa baru dan pelabuhan laut dalam di Kuching.
“Kedua-dua projek ini bertujuan untuk meletakkan Sarawak sebagai kuasa ekonomi yang semakin berkembang di rantau ini.
“Justeru, melihat ke hadapan, lebih kurang RM100 bilion akan disuntik ke dalam ekonomi Sarawak dalam tempoh lima tahun akan datang untuk kedua-dua projek ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 "Sarawak Towards 2025" di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Mengulas lanjut tentang Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang, Abang Johari berkata ia dicadangkan akan dibangunkan dengan kerjasama Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) yang berfungsi sebagai pintu masuk strategik bagi eksport dan import tenaga.
Malah, katanya ia selaras dengan Pelan Hala Tuju Gas Sarawak di mana pelabuhan ini akan memfasilitasi penyimpanan hidrogen hijau, eksport LNG, dan sumber tenaga lain, mendorong peralihan Sarawak ke arah tenaga boleh diperbaharui.
“Dengan infrastruktur canggih dan teknologi pintar untuk memastikan kecemerlangan operasi dan kelestarian, pelabuhan ini dijangka beroperasi pada 2030, mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai peneraju serantau dalam tenaga lestari dan perdagangan,” tegasnya.
Tambanya lagi, Sarawak tetap teguh dalam memperkukuhkan ekosistem pembangunannya untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan daya saing global dan menjadi pemain utama dalam industri tenaga dan petrokimia.
“Pada awal tahun lalu, PETROS telah dilantik oleh Kerajaan Sarawak sebagai pengumpul gas tunggal untuk Sarawak.
“Tanggungjawab baru ini membolehkan PETROS mengawasi pengurusan dan pengedaran sumber gas asli, memastikan Sarawak mempunyai kawalan yang lebih besar ke atas rantaian bekalan tenaga kami.
“Oleh itu, PETROS kini berada pada kedudukan yang baik untuk merundingkan syarat yang lebih baik untuk Sarawak, memperluaskan kapasiti tenaga kami, dan memacu pertumbuhan lanjut dalam sektor tenaga,” ujarnya.
Menurutnya lagi, Sarawak juga menyaksikan perasmian loji metanol Sarawak Petchem di Bintulu pada 2024 di mana projek penting itu merupakan contoh komitmen negeri terhadap pemelbagaian ekonomi dan pengeluaran bernilai tambah untuk pasaran serantau dan global.
“Dan esok, saya akan berada di Bintulu untuk menyaksikan Majlis Rasmi Pelepasan Kargo Eksport Metanol Sarawak Petchem dan Majlis Pecah Tanah Projek Metanol Hijau.
“Selain daripada kelebihan langsungnya, projek loji metanol ini mengukuhkan asas industri kami dan berpotensi menghasilkan kesan pengganda yang besar.
“Ia dijangka merangsang pertumbuhan dalam industri-industri sokongan seperti logistik, penyelenggaraan, dan pembuatan khusus, sambil mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi,” jelasnya lagi.