Sarawak berada di hadapan berbanding negeri lain dalam bidang tenaga baharu: TPM Fadillah
KUCHING-- Sarawak berada di hadapan dalam bidang tenaga baharu hidrogen membolehkan negeri ini dipilih sebagai pusat pembangunan tenaga baharu, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air itu, keadaan itu menarik minat Jepun dan Korea Selatan untuk melabur ke Sarawak dalam membangunan tenaga baharu yang mampan di sini sekali gus memberi impak baik kepada eknomi negara secara keseluruhannya.
“Sarawak juga agak kedepan dalam bidang hidrogen membolehkan negeri ini dipilih untuk menjadi pusat pembangunan tersebut dengan Jepun dan Korea Selatan yang telah melabur ke Sarawak.
“Pada masa sama pemilihan Sarawak sebagai pusat pembangunan tenaga baharu membolehkan negeri ini bakal menjadi hab utama untuk ekonomi hidrogen di rantau Asia.
“Malah ini bukan sahaja akan meningkatkan ekonomi Sarawak namun juga kepada Malaysia kerana pusat pembangunan tenaga baharu ini akan digunakan untuk mengeksport hidrogen ke Jepun dan negara-negara lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Gemilang Court Malaysia (ICM) Wilayah Timur di Muzium Budaya Borneo di sini malam tadi.
Jelas Fadillah, hidrogen merupakan tenaga bersih yang akan menjadi tenaga baharu yang mampu menggantikan tenaga nuklear.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Malaysia menjalinkan kerjasama tersebut bersama dengan Jepun disebabkan teknologi canggih yang lebih ke hadapan berbanding Korea Selatan dengan kerjasama baharu yang dijalankan menyaksikan teknologi baharu bakal dibawa ke Sarawak.
Baru-baru ini, pertemuan antara Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba di mana kedua-kedua pemimpin memberi komitmen menjadikan Sarawak pusat pembangunan tenaga baharu khususnya hidrogen bertujuan untuk mengeksport tenaga tersebut.
Terdahulu, Fadillah ketika berucap pada majlis itu menekankan pentingnya kepelbagaian dan keterangkuman dalam profesion undang-undang sebagai asas pembinaan negara.
Jelasnya, dengan tema 'Kepelbagaian dan Keterangkuman dalam Pembinaan Negara', mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai perpaduan dan keadilan.
"Kepelbagaian dan keterangkuman adalah kekuatan kita dan ia bukan sahaja memperkukuhkan profesion guaman tetapi juga memastikan keadilan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat," katanya.
Justeru, beliau menggesa agar nilai-nilai keterangkuman dan perpaduan terus dipupuk melalui pendidikan dan latihan, terutama dalam menangani bias tanpa sedar serta meningkatkan komunikasi rentas budaya dalam profesion undang-undang.
“Langkah ini penting untuk memastikan perkhidmatan undang-undang disampaikan dengan profesionalisme dan integriti,” ujarnya.
Beliau turut memuji kejayaan siri Pendidikan Undang-Undang Ke-10 di Universiti Swinburne, Kuching, yang membuktikan usaha berterusan untuk memajukan pendidikan undang-undang di Malaysia.
"ICM telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap pendidikan undang-undang melalui pelbagai inisiatif, dan saya percaya lebih banyak kejayaan akan dicapai melalui kerjasama ini," ujarnya.
Majlis itu diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Pada majlis tersebut, Tun Wan Junaidi dan Fadillah Yusof menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara ICM dan Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya simbolik ke arah memperkasakan pendidikan dan latihan undang-undang untuk melahirkan generasi guaman yang berdaya saing.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Peguam Besar Sarawak Dato Sri Saferi Ali, Ketua Hakim Sarawak dan Sabah Tan Sri Dato Abdul Rahman Sebli dan tetamu kehormat lain.