PGA rampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama bernilai RM34.7 juta dalam dua serbuan berasingan di Kuching
KUCHING -- Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama dala dua serbuan berasingan sekitar Kuching dalam Op Taring Alpha yang dijalankan pada pagi semalam.
Komander PGA Briged Sarawak SAC Che Ghazali Che Awang dalam kenyataannya hari ini berkata, dalam serbuan pertama yang dijalankan oleh sepasukan polis dari Cawangan Risik Ibu Pejabat Briged Sarawak PGA Kuching ke atas sebuah premis pada jam 7 pagi telah menemukan sebanyak 17,250 karton rokok putih, 14,760 karton rokok kretek serta 20,043 liter minuman keras pelbagai jenama yang disimpan di dalam premis.
"PGA dalam masa sama turut menahan lima lelaki warga tempatan berusia antara 20 hingga 30 tahun termasuk merampas lima buah kenderaan jenis lori yang dipercayai bagi menjalankan kegiatan memindahkan barangan," jelasnya.
Kesemua nilai rampasan ujarnya dianggarkan bernilai RM16, 325 juta.
Pada jam 8.30 pagi di hari sama ujarnya, pasukan PGA telah menjalankan serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah lagi premis di sekitar Bandaraya Kuching yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok yang belum lulus cukai kastam.
"Dalam serbuan yang dijalankan, tiada tangkapan dibuat namun hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 36,750 karton rokok putih pelbagai jenama yang disimpan di dalam premis tersebut yang dianggarkan bernilai RM18,375 juta," jelas beliau.
Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching untuk tindakan dan siasatan lanjut yang mana kedua-duanya kesalahan akan disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(D) Akta Kastam 1967.