Pasangan suami isteri dan bayi terperangkap dalam banjir di Jalan Lukut-Penyulau diselamatkan.
KANOWIT -- Pasangan suami isteri dan bayi mereka berumur 4 bulan yang terperangkap dalam kenderaan semasa meredah banjir di Halan Lukut-Penyulau di Kanowit awal pagi tadi diselamatkan pasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak, sepasukan anggota dari BBP Kanowit dikerahkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 6.15 pagi tadi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta mengeluarkan mangsa dari lokasi banjir.
"Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati terdapat sebuah van jenis Toyota Hiace yang teperangkap dalam banjir," ujarya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak menyelamatkan mangsa dengan meredah banjir sedalam 4 kaki dengan menggunakan Personal Floating Device (PFD) bergerak ke lokasi mangsa yang terletak 130 meter dari kawasan selamat.
Pasukan bomba mengambil masa selama setengah jam bagi mengeluarkan ketiga-tiga mangsa yang mana operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.33 pagi.
"Adalah difahamkan semasa kejadian, keluar terbabit dikatakan dalam perjalanan dari Sibu menuju ke Kanowit bagi menghantar sayur-sayuran," ujar beliau.