Lelaki sempat keluar menyelamatkan diri, lori sarat muatan sawit yang dipandu tiba-tiba terbakar
MIRI -- Seorang lelaki yang merupakan pemandu sebuah lori sarat dengan muatan kelapa sawit nyaris maut selepas lori yang dipandunya itu tiba-tiba terbakar dalam insiden yang berlaku berhampiran Simpang Ngu di Lebuhraya Pan-Borneo Miri-Bintulu tengah hari tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah, Rary Binjie berkata sepasukan anggota dari BBP Batu Niah bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 12.01 trngah hari bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta memadam kebakaran.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati sebuah lori 17 tan jenis Nissa yang dipandu seorang lelaki sedang terbakar," jelasnya.
Adalah difahamkan semasa kejadian, lori terbabit dikatakan sedang bergerak dari arah sebuah ladang kelapa sawit di Suai menghala ke Kuala Baram.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran yang berlaku dengan menggunakan satu aliran air 100 kaki yang mana sumber air diperoleh dari pam jentera.
"Setelah hampir 2 jam memadam kebakaran, api akhirnya berjaya dipadam sepenuhnya pada jam 1.20 petang," jelas Rary.