Kemalangan berdarah di Stutong: Remaja pandu kereta tiada lesen, akan ditahan selepas dirawat
KUCHING-- Seorang remaja lelaki tempatan berusia 16 tahun yang merupakan pemandu kereta yang terbabas hingga menyebabkan lima maut di Jalan Teo Kui Seng/Stutong Baru tengah hari tadi yang ketika ini menerima rawatan Hospital Umum Sarawak akan ditahan untuk siasatan.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, remaja terbabit memandu tanpa lesen akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi, remaja terbabit mengalami kecederaan di leher akibat kemalangan itu, akan ditahan setelah mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Mengenai kemalangan itu, Mohd Farhan berkata, ia berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari melibatkan tiga kereta dan dua motosikal.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada sebuah kereta yang datang dari arah Jalan Lapangan Terbang menuju ke arah Jalan Setia Raja telah hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke arah jalan bersebelahan dan merempuh dua buah motosikal dan dua buah kereta yang datang dari arah bertentangan.
“Akibat kemalangan tersebut, empat mangsa (tiga lelaki dan seorang perempuan) warga tempatan berumur dalam lingkungan 16 hingga 45 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Manakala seorang mangsa lelaki tempatan berumur linkungan 16 tahun telah disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di zon merah Hospital Umum Sarawak,” dedahnya.
Menurutnya lagi, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan masih menerima rawatan di unit kecemasan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar mana – mana orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik ASP Lucas Apin di talian 013-8246881 / 082259900 atau mana – mana balai polis yang berhampiran.
Pada masa sama Mohd Farhan menasihati pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan berhati-hati semasa memandu supaya tidak membahayakan diri dan pengguna jalan raya yang lain.