Bayi dalam kandungan maut kemalangan Bezza dan 4WD di Simpang Opar Rumih

KUCHING-- Seorang bayi dalam kandungan maut selepas kereta Perodua Bezza dipandu ibunya terlibat kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 5.0 Simpang Opar Rumih, Jalan Bau Lundu petang semalam.

Ketua Polis Daerah DSP Dr Daram Ruer berkata, dalam kemalangan yang dilaporkan sekitar jam 5.30 petang itu, bayi dalam kandungan yang berusia 35 minggu 2 hari disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak. 

"Kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu 4WD dalam proses hendak keluar ke simpang kanan menuju ke arah Bau dan telah berlanggar dengan sebuah Perodua Bezza yang bergerak lurus. 

"Akibat kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Bezza yang merupakan seorang wanita yang mengandung mengalami kecederaan dalaman yang mana bayi dalam kandungannya disahkan meninggal dunia oleh pihak pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak," katanya dalam kenyataan semalam. 

Tambahya lagi, disebabkan kemalangan itu wanita terbabit masih mendapat rawatan di wad kecemasan Hospital Umum Sarawak. 

Tegasnya kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kes masih dalam siasatan. 

"Kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berikutan kejadian ini diminta tampil bagi membantu siasatan atau menghubungi mana mana balai polis berhampiran.  

"Sehubungan itu, pengguna jalanraya adalah dinasihatkan sentiasa berhati-hati semasa memandu terutamanya dalam keadaan cuaca yang tidak menentu dan pastikan kenderaan dalam keadaan baik dan memandulah secara berhemah," ujarnya.
Previous Post