Banjir: Premier Sarawak lulus peruntukan tambahan RM10 juta
MIRI-- Sebanyak RM10 juta peruntukan tambahan diluluskan bagi dana bencana banjir di Sarawak, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Jelasnya, peruntukan tambahan itu bagi menambah dana bencana sedia ada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS).
"Saya luluskan peruntukan tambahan RM10 juta untuk JPBNS bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Sarawak.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga telah mengumumkan peruntukan segera RM24 juta untuk membaiki infrastruktur yang terjejas akibat beberapa bencana di Sabah dan Sarawak ketika ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Bulan Sabit Merah Cabang Miri hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak bercadang untuk menempatkan penduduk di Kampung Lereng Bukit, Miri di kawasan penempatan baharu yang lebih selamat.
"Semasa melawat di kampung ini, salah seorang daripada mangsa kejadian tanah runtuh meminta dan bersetuju agar mereka dipindahkan ke tempat lain.
"Jadi kita akan mengadakan perbincangan untuk mencari kawasan penempatan baharu yang lebih selamat untuk penduduk kampung ini.
"Dan pihak Jabatan Tanah dan Survei akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk penempatan baharu penduduk ini," jelasnya.
Tambahnya, cadangan itu juga tidak akan membebankan penduduk yang terlibat dalam pemindahan tersebut.
"Seperti yang kita laksanakan di tempat lain, penduduk yang dipindahkan tidak perlu membayar apa-apa.
"Mengikut program yang kita laksanakan segala infrastruktur adalah ditanggung kerajaan dan mereka juga diberi ganti rugi dan kos rumah baru mereka mengikut kos ganti rugi yang diberi.
"Jadi mereka tidak perlu bayar apa-apa," ujarnya.