Abang Johari yakin MASwings dapat diambil alih suku pertama 2025

KUCHING-- Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yakin pengambilalihan syarikat penerbangan MASwings, ke arah mewujudkan syarikat penerbangan sendiri akan dapat dicapai pada suku pertama 2025.

Beliau menegaskan, dengan itu, ia dapat memberikan kebanggaan dan autonomi dalam sektor penerbangan kepada Sarawak. 

"Saya menjangkakan Tahun 2025 akan menjanjikan lebih banyak kejayaan kepada kita. 

"Saya pasti pengambilalihan MASwings ke arah mewujudkan syarikat penerbangan kita sendiri akan dapat dicapai pada suku pertama 2025, memberikan kita kebanggaan dan autonomi dalam sektor penerbangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Premier Sarawak 2025 "Sarawak Towards 2025" di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Abang Johari berkata, pengambilalihan MASwings yang kini di peringkat akhir juga akan meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk ke ASEAN. 

Katanya dengan peningkatan kapasiti armada dan perkhidmatan yang dipertingkatkan, matlamat Sarawak adalah untuk meningkatkan kedua-dua sambungan domestik dan antarabangsa.

"Ini terutamanya dalam radius penerbangan empat hingga tujuh jam, meningkatkan perdagangan, pelancongan dan pelaburan dalam tempoh 5 tahun akan datang," jelasnya.

Dalam pada itu, Abang Johari memberitahu, banyak projek infrastruktur asas seperti jambatan, jalan raya, sekolah, klinik, bekalan air dan elektrik akan siap dan memberi manfaat terus kepada rakyat. 

Selain itu, katanya akses telekomunikasi juga akan lebih meluas memastikan setiap komuniti, khususnya di kawasan luar bandar, mendapat peluang yang sama dalam dunia digital. 

Tegasnya, kesemua hasil usaha ini dijangka meningkatkan taraf hidup rakyat, memperkukuhkan ekonomi tempatan, dan menarik lebih banyak pelaburan ke Sarawak. 

"Justeru, marilah kita bersama menyambut tahun 2025 yang penuh potensi dan peluang ke arah Sarawak Maju Makmur 2030. 

"Tidak lama lagi, kita akan menyambut Tahun Baru Cina, jadi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Xin Nian Kuai Le kepada semua yang akan meraikan. 

"Semoga tahun baru ini membawa kesejahteraan, kemakmuran, dan kebahagiaan kepada setiap keluarga dan individu," ujarnya.

Tambahnya, dalam menyambut perayaan ini, rakyat Sarawak harus mengambil peluang untuk menghidupkan semangat perpaduan dan keharmonian, mengeratkan ikatan sosial.

"Ini memastikan bahawa kita terus maju bersama sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu," ujarnya.
Next Post Previous Post