4 maut, dua parah, tiga lagi cedera kemalangan ngeri di Stutong
KUCHING-- Seorang pegawai operasi kargo antara empat yang maut dalam kemalangan ngeri yang melibatkan tiga kereta dan dua motosikal di Jalan Stutong Baru di sini tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 12.59 tengah hari tadi.
“Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya dan Batu Lintang dikerahkan ke lokasi.
“Setibanya dilokasi, Komander Oerasi melapor kemalangan melibatkan tiga kenderaan iaitu dua buah Proton Saga dan sebuah Toyota Altis serta dua motosikal jenis Yamaha dan Modenas.
“Kemalangan ini melibatkan sembilan mangsa yang mana empat daripadanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, empat mangsa yang maut terdiri daripada seorang perempuan dan tiga lelaki.
Tambahnya, seorang mangsa lelaki yang maut masih tersepit dalam kereta Saga berjaya dikeluarkan oleh bomba dengan menggunakan peralatan RTA.
“Sementara, seorang mangsa perempuan kritikal akibat cedera parah, seorang lelaki turut cedera parah manakala tiga lagi lelaki mengalami cedera ringan akibat kemalangan itu,” katanya.
Tegasnya lagi, mangsa yang meninggal dunia telah disahkan oleh pihak KKM yang berada dilokasi.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Mangsa yang kritikal dan cedera telah dibawa ke hospital oleh ambulans,” katanya.
Menurutnya lagi, kerja-kerja pembersihan pasca kemalangan sedang dijalankan.