10 ditahan, 137 senapang dan pistol tiruan dirampas di Kuching dan Samarahan

KUCHING-- Sebanyak 137 senapang dan pistol tiruan, 344 paket serta 18 botol berisi peluru plastik dirampas dalam serbuan ke atas lima premis menjual barang mainan di Kuching dan Samarahan semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, dalam serbuan itu juga pihak polis menahan tiga lelaki dan tujuh perempuan tempatan berumur 19 hingga 46 tahun.

"Serbuan dibuat setelah pihak polis menerima maklumat aktiviti menjual senjata api tiruan kepada orang awam.

"Hasil serbuan tersebut, pihak polis telah menahan tiga lelaki dan tujuh perempuan tempatan serta merampas 67 laras senapang dan 70 pucuk pistol tiruan.

 "Turut dirampas 344 paket dan 18 botol berisi peluru plastik," katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tegasnya, kes disiasat atas kesalahan di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata, 1960.

Justeru, beliau mengingatkan bahawa perbuatan memiliki, membeli atau menjual senjata api tiruan adalah merupakan suatu kesalahan jenayah walau atas apa alasan sekalipun. 

"Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

"Polis Sarawak akan terus menjalankan operasi dan pemantauan terhadap penjualan senjata api tiruan di seluruh Sarawak. 

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak melalui hotline 011-15696554 atau mαnα-mαnα balai polis yang berhampiran," ujarnya
Next Post Previous Post