Warga emas dijumpai mati di hadapan pusat beli belah di Kuching

KUCHING-- Seorang lelaki tempatan dijumpai mati di luar sebuah pusat beli 
belah di sini malam tadi. 

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah yang mengesahkan kes itu berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 10.43 malam.

"Orang awam memaklumkan terdapat 
seorang individu lelaki tempatan berumur 63 tahun telah ditemui dalam keadaan tertiarap dan tidak sedarkan diri di luar sebuah pusat beli belah di Kuching.

"Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Balai Polis Sentral Kuching telah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati individu tersebut tidak memberi respon," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, berdasarkan keterangan saksi, mangsa dikatakan jatuh dari kawasan tempat letak kereta pusat beli belah berkenaan. 

"Pasukan perubatan telah tiba di lokasi dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia," katanya.

Berikutan itu, beliau memberitahu mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak bagi tujuan bedah siasat. 

"Satu kertas siasatan mati mengejut dibuka berhubung kejadian tersebut," ujarnya.

Sehubungan itu, tegasnya, individu yang menyaksikan kejadian tersebut atau mempunyai sebarang maklumat berkenaan kejadian agar berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat ASP Marshall Ajin di talian 012-8088195 dan Balai Polis Sentral di talian 010-5065654 atau tampil di balai polis yang berhampiran.

Beliau turut menasihat orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini dan tidak menularkan gambar mangsa di tempat kejadian untuk menjaga sensitiviti keluarga mangsa.
Next Post Previous Post