Usul jawatan Presiden, Timbalan Presiden PBB tidak dipertandingkan disokong- Fadillah
SRI AMAN -- Naib Yang Di Pertua Kanan PBB, Datuk Seri Fadillah Yusof menyokong usul PBB Beting Maro supaya jawatan presiden dan timbalan presiden parti itu kekal tidak dipertandingkan pada pemilihan Perhimpunan Agung Tritahunan (TGM) PBB nanti.
Jelas Timbalan Perdana Menteri itu, usul berkenaan penting bagi memastikan kekuatan PBB terus kekal menjadi tunjang utama dalam melaksanakan dasar yang berkesan untuk rakyat negeri ini.
"Ini usul daripada Beting Maro tetapi secara peribadi saya bersetuju jawatan presiden dan timbalan-timbalan presiden tidak dipertandingkan.
"Bagi jawatan yang lain saya serahkan kepada pucuk kepimpinan parti sama ada ia perlu dipertandingkan atau tidak itu terserah budi bicara Yang Dipertua (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) dan Majlis Kerja Tertinggi Parti.
"Bagi saya setiap orang telah memberi khidmat yang terbaik untuk parti, rakyat negeri dan negara," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan Beting Maro Sesi 2024-2027 di Dewan Komuniti Pusa dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, mesyuarat PBB di semua peringkat ranting berjalan lancar dan akan disusuli di peringkat zon.
"Saya mendapat pelaporan bahawa semuanya berjalan lancar malahan sekarang ini boleh katakan semua selesai dan apa yang kita laksanakan nanti di peringkat zon di mana nanti kita susun aturkan untuk Yang Dipertua hadir ke mesyuarat di peringkat zon ini," katanya.
Pada masa sama, beliau mendedahkan parti itu mendapat sambutan memberangsangkan dari kalangan belia sejak penubuhan sayap belia.
"Belia kita sudah pun menjadi pemerhati dalam mesyuarat dan dengan sayap belia, saya pasti lebih ramai belia bersama parti PBB," tegasnya.
Terdahulu, Fadillah dalam ucapannya menyeru seluruh ahli PBB bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri yang akan datang.
"Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi, walaupun masih ada dua tahun lagi tetapi tempoh itu tidak lama.
"Jadi persiapan perlu bermula hari ini kerana sekarang ada yang bergerak secara diam-diam tanpa kita sedar.
"Jangan kita merasakan kita sentiasa menang, jadikan apa yang berlaku terhadap BN lalu sebagai pengajaran," tegasnya.
Beliau turut mengingatkan jentera PBB di peringkat akar umbi sentiasa mendekati para pengundi bagi memastikan kemenangan di Beting Maro dapat dikekalkan.
"Kita harus sentiasa rapat dengan pengundi-pengundi kita. Kita juga perlu mendengar apa masalah pengundi kita dan apa pilihan mereka untuk kita sampaikan kepada pucuk kepimpinan parti dan dari parti akan dibawa ke kepimpinan negeri untuk mencari penyelesaian.
"Jangan kita duduk terlalu selesa dengan apa yang kita kecapi sekarang, kalau ada kelemahan sama-sama kita perbaikinya dan jangan dibiarkan.
"Ini penting bagi memastikan Beting Maro ini kekal di bawah parti PBB," ujarnya.