Tiga maut kena renjatan elektrik ketika pasang solar

RANAU-- Tiga maut selepas terkena renjatan elektrik ketika kerja-kerja pemasangan solar di bangunan sebuah pejabat kerajaan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Wong, 54, Salleh, 34, dan Gimbal, 25 tahun.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu sekitar jam 10.46 pagi.

"Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau kemudian dikerahkan ke lokasi.

"Tiba di lokasi komander operasi melaporkan terdapat empat orang kontraktor menjalankan kerja-kerja pemasangan solar di bangunan berkenaan.

"Tiga daripadanya terkena renjatan elektrik telah meninggal dunia di lokasi kejadian, disahkan oleh pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakalah seorang lagi mangsa lelaki berusia 20-an, katanya tidak mengalami sebarang kecederaan. 

Tambahnya, pasukan bomba bertindak mengalihkan mangsa ke tempat selamat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

"Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan sepenuhnya," ujarnya.
Next Post Previous Post