Tiga lagi suspek kes bunuh pemuda di Sungai Tapang direman
KUCHING-- Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan permohonan reman ke atas tiga lagi suspek bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang lelaki berusia 22 tahun di apartment di Jalan Sungai Tapang pada 1 Disember.
Permohonan reman itu diluluskan Majistret Ling Hui Chuan berdasarkan Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Ling memerintahkan suspek keempat berusia 48 tahun direman enam hari bermula esok hingga 21 Disember.
Sementara suspek kelima dan keenam berusia 32 dan 43 tahun, direman tujuh hari sehingga 22 Disember.
Kes itu kini sedang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketika hadir di mahkamah hari ini, suspek keenam diwakili Peguam Roger Chin manakala dua lagi tidak diwakili peguam.
Difahamkan suspek keempat dan kelima ditahan di pekarangan Mahkamah Kuching semalam, manakala suspek keenam ditahan di Balai Polis Kota Sentosa pada hari yang sama.
Sebelum ini, tiga lelaki berusia 22 hingga 25 tahun direman bagi membantu siasatan kes itu.
Bagaimanapun suspek yang direman sejak 2 Disember lalu dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin tempatan setiap seorang berikutan permohonan polis mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah pada 10 Disember.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Padawan Mohd Irwan Hafiz Md Radzi berkata tangkapan ke atas ketiga-tiga suspek yang disyaki terlibat dalam kes seorang lelaki warga tempatan berusia 22 tahun yang dijumpai mati dengan kesan tetakan pada bahagian badan di sebuah pangsapuri awal pagi.
Katanya, polis menerima maklumat berhubung kejadian insiden pergaduhan di pangsapuri berkenaan kira-kira 4.40 pagi.
"Berikutan itu, pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan dikerah ke lokasi dan apabila tiba di lokasi kejadian telah menemui seorang lelaki tempatan berumur 22 tahun terbaring di dalam sebuah bilik di pangsapuri tersebut.
"Terdapat kesan tetakan pada bahagian badan mangsa dan disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir dilokasi," katanya dalam kenyataan semalam.
Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.