Taburan hujan meningkat, sistem saliran tak sempurna, pembangunan pesat tidak terkawal punca banjir-Fadillah
KUCHING-- Peningkatan taburan hujan yang ketara akibat perubahan cuaca, sistem saliran tidak sempurna serta aktiviti pembangunan dan guna tanah yang begitu pesat dan tidak terkawal dikenal pasti punca banjir di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata selain itu juga, isu pembuangan sampah dan kerosakan infrastruktur sistem saliran juga menjadi faktor berlakunya banjir khususnya banjir kilat.
"Saya menegaskan pengurusan banjir memerlukan kerjasama secara bersepadu khasnya dalam mengurus sistem perparitan dan sungai yang melibatkan pelbagai jabatan dan agensi.
"Sebagai penyelesaian jangka panjang untuk menghadapi banjir, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah menjalankan kajian mengikut lembangan sungai utama sebagai pendekatan bukan struktur, bertujuan untuk menyediakan perancangan dan
penyelesaian banjir secara menyeluruh," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Klang Ganabatirau Veraman pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Ganabatirau bertanyakan apakah tahap kepuasan kerajaan terhadap pembangunan infrastruktur tebatan banjir dan pelaburan yang berkaitannya yang telah diusahakan sejak dahulu dan apakah langkah-langkah yang sedang diambil untuk meningkatkan tahap persediaan dan kecekapan tindak balas negara terhadap musibah banjir.
Dalam pada itu, Fadillah menjelaskan
berdasarkan hasil kajian, risiko banjir mengikut kawasan bagi tempoh 2023 sehingga 2100, dianggarkan peruntukan yang diperlukan untuk melaksanakan 365 projek tebatan banjir adalah sebanyak RM392 bilion.
Tambahnya, sekiranya kerajaan mahu membelanjakan keseluruhan peruntukan, satu tahun Kementerian tidak ada peruntukan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
"Jadi disebabkan itu, Kementerian berpuas hati dengan projek yang telah dilaksanakan misalnya projek terowong SMART di Kuala Lumpur yang telah disiapkan sejak 2007 dengan membelanjakan sebanyak RM1.97 bilion.
"Sepanjang 17 tahun beroperasi, terowong ini telah diaktifkan lebih 600 kali untuk melencongkan banjir dan berjaya mengurangkan risiko banjir di
pusat bandar," katanya.
Menurutnya lagi, berdasarkan kajian JPS pada 2012, jumlah kerugian yang berjaya diselamatkan untuk jumlah pengaktifan lencongan itu adalah bernilai lebih daripada RM4.3 bilion.
"Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Klang di Seksyen 25, Shah Alam, Daerah Klang pula dilaksanakan dengan jumlah kos RM140 juta.
"Berdasarkan skop, projek ini akan mengurangkan risiko banjir melibatkan kawasan seluas 4,195.7 ha, meliputi Jalan Batu 3, Shah Alam.
"Seramai 192,279 penduduk akan mendapat manfaat," ujarnya.
Mengenai persediaan menghadapi musim banjir di seluruh negara, jelas Fadillah kerajaan melalui NADMA telah mengatur tiga langkah pra banjir;
persediaan tindak balas bencana; dan penyelarasan pasca banjir.
"Semasa Pra Banjir, NADMA melaksanakan program simulasi dan sesi libat urus seluruh Negara, Program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM), Kerja-kerja penyelenggaraan sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur Pengaktifan Bilik Kawalan Operasi Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), penempatan 737 pam bergerak seluruh Negara dan menaik taraf stesen siren amaran banjir dan stesen kamera web," katanya.
Tambahnya, PETRA melalui JPS juga telah mengemas kini dan mengenal pasti sebanyak 4,619 lokasi hotspot banjir di seluruh negara.
"Tindakan-tindakan awal telah diambil untuk melaksanakan kerja-kerja mitigasi seperti penyelenggaraan sistem perparitan, pembaikan, retrofitting, dan sebagainya serta sistem amaran awal, dengan memastikan 534 siren amaran banjir di sungai-sungai utama berfungsi dengan baik.
"Sebagai Persediaan Tindak Balas Bencana banjir pula, Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap Negeri (JPBN) dan Daerah (JPBD) diminta untuk melaksanakan koordinasi persediaan awal melalui mesyuarat, mengadakan simulasi dan latih amal bersepadu, persediaan pusat-pusat pemindahan sementara (PPS), pelaksanaan aktiviti Communication, Education and Public Awareness (CEPA) dan sebagainya," katanya.
Manakala bagi Penyelarasan Pasca Banjir, katanya, ia meliputi bantuan awal, pembersihan, dan bantuan-bantuan pasca bencana kepada mangsa termasuk bantuan kewangan dan pembaikan segera kerosakan infrastruktur.
"Ini termasuk meningkatkan kerjasama antara JPBN dan JPBD bersama NGO dan sukarelawan berkaitan penyelarasan bantuan," ujarnya.