Suspek utama kes samun bersenjata ditahan di rumah setinggan Jalan Semumok Betong

BINTULU -- Suspek utama kes samun bersenjata di sebuah kedai serbaneka di sini pada Selasa lalu berjaya ditahan di sebuah rumah setinggan di Jalan Semumok Betong petang tadi.

Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Nixon Joshua Ali berkata, 
hasil makluman serta risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu, telah melancarkan operasi khas bagi mengesan serta menjejaki suspek.

"Serbuan yang dijalankan pada jam 2.15 petang di kawasan rumah setinggan Jalan Semumok dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Betong telah berjaya menahan suspek yang merupakan lelaki warga tempatan," jelasnya. 

Turut dirampas katanya pakaian yang disyaki digunakan oleh suspek semasa melakukan jenayah serta beberapa unit telefon bimbit.

Semakan ke atas rekod kesalahan lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau melibatkan kes penyalahgunaan dadah. 

Suspek katanya akan dipohon reman dan disiasat di bawah seksyen 392/397 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan lanjut.

Pada 10 Disember lalu katanya, IPD Bintulu katanya ada menerima laporan polis berkaitan kes samun menggunakan senjata bertempat di sebuah kedai serbaneka di Bintulu.

Penelitian pada Perakam Kamera Litar Tertutup (CCTV) tersebut memaparkan satu lelaki berpakaian serba hitam terus menuju ke kaunter juruwang sebelum mengeluarkan sebilah parang dan meletakkannya atas meja lalu meminta mangsa untuk mengeluarkan wang tunai yang berada dalam mesin kira-kira dan turut mengambil dua unit telefon bimbit milik mangsa.

"Susulan daripada kejadian itu, pasukan polis telah melancarkan operasi khas bagi mengesan dan menjejaki suspek,' tambah beliau.
Next Post Previous Post