Sarawak, Belanda bangunkan sektor makanan moden berteknologi AI di Opar

BAU-- Sarawak menjalinkan kerjasama dengan Belanda dalam membangunkan sektor makanan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Opar.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu kerajaan Sarawak memperuntukkan RM60 juta untuk membangunkan infrastruktur asas di Metropolitan Food Cluster (MFC) Opar di RGC Opar, Jalan Bau-Lundu.

"Pada hari ini kita menyaksikan perasmian MFC Opar yang dibangunkan dengan kerjasama kerajaan Belanda termasuk pihak swasta yang terlibat dalam menjayakan projek perintis ini.

"MFC Opar ini merupakan projek perintis kita dalam memajukan sektor makanan yang menggunakan teknologi moden AI.

"Untuk itu, kerajaan Sarawak melabur RM60 juta untuk membangunkan kemudahan infrastruktur di MFC Opar ini manakala pihak swasta pula melabur RM20 juta," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah MFC Opar di Jalan Bau-Lundu di sini hari ini.

Majlis perasmian itu turut dihadiri Duta Belanda ke Malaysia, Tuan Yang Terutama (TYT) Jacques Louis Warner dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah (M-FICORD) Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan tetamu kehormat lain.

MFC Opar adalah projek perintis dalam usaha berterusan untuk memodenkan Industri Makanan Sarawak berdasarkan Perkongsian Awam-Swasta-Komuniti melibatkan M-FICORD, Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (SLDB), Metropolitan Sarawak Food Cluster (SMFC) Consortium Sdn Bhd, dan masyarakat setempat.

Sektor makanan moden ini merangkumi pertanian rumah hijau moden, kilang pemprosesan makanan, pusat pengalaman dan pusat penyatuan, yang membentuk makanan pertanian bersepadu dengansistem bercirikan reka bentuk dan teknologi Belanda bertaraf dunia.  

Ia merupakan yang pertama di Sarawak,yang juga akan menggunakan teknologi AI, termasuk teknologi canggih lain seperti Internet of Things (IoT), dan sebagainya.

Ini membolehkan pertanian yang tepat, penggunaan optimum sumber dan hasil penanaman yang bernilai lebih tinggi dengan konsistensi dan daya tahan yang lebih tinggi terhadap perubahan iklim.
 
Selain itu, MFC Opar akan memperkasakan penduduk tempatan, khususnya petani kecil, melalui penyertaan mereka dalam kerjasama antarabangsa ke arah membangunkan ekonomi yang mampan dan bersepadu di Sarawak.

Abang Johari memberitahu, ia dijangka siap menjelang 2027 dan MFC Opar akan memberi manfaat kepada rakyat Sarawak, khususnya Kampung Stungkor, Opar dan sekitar Kuching. 
Next Post Previous Post