Perpaduan kunci utama kestabilan Sarawak-Fadillah
BELAGA-- Perpaduan adalah kunci utama kestabilan Sarawak yang berpegang kepada semangat “Segulai Sejalai” iaitu Seiring Sejalan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, untuk itu semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perpaduan sekali gus membina Sarawak dan Malaysia.
"Saya mahu mengingatkan bahawa perpaduan adalah kunci utama kestabilan Sarawak yang berpegang kepada semangat “Segulai Sejalai” iaitu Seiring Sejalan.
"Semua pihak perlu memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan perpaduan sekali gus membina Sarawak dan Malaysia.
"Apabila ekonomi Malaysia semakin kukuh, pelabur akan berebut-rebut mahu melabur dan ini turut memberi peluang kepada Sarawak untuk turut berkembang maju," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Kebudayaan Apau Koyan 2024 di Tapak Pesta Sungai Asap, Bakun malam tadi.
Pada majlis itu, Fadillah turut menyampaikan geran di bawah Dana Sejati MADANI berjumlah keseluruhan RM3.78 juta kepada 18 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Daerah Belaga.
"Walaupun pada awalnya hujan namun orang ramai setia menunggu bagi menyaksikan penutup pesta ini.
"Justeru, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir yang sama-sama memeriahkan majlis pada malam ini.
"Selain itu, tahniah juga kepada juara Pertandingan Keligit Dan Belawan 2024," ujarnya.
Turut hadir, Timbalan Menteri Digital merangkap Ahli Parlimen Hulu Rejang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Timbalan Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang, ADUN Murum Kennedy Chukpai Ugon dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Senator Michael Mujah Lihan.