Pengarah syarikat di Sibu rugi RM1 juta terperdaya pelaburan tidak wujud
KUCHING-- Seorang pengarah syarikat di Sibu rugi RM1 juta selepas terpedaya dengan penipuan pelaburan tidak wujud "Arcadia Equity".
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata, pada pertengahan Oktober 2024, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 30-an semasa berada di rumah telah melayari laman sosial Facebook dan tertarik dengan iklan pelaburan “Arcadia Equity”.
Jelasynya, mangsa telah menekan pautan dan dimasukkan ke dalam group Whatsapp “SPDR Finance Business College”.
"mangsa telah berurusan dengan seorang individu yang tidak dikenali (suspek) melalui aplikasi Whatsapp.
"Kemudiannya, suspek mengarahkan mangsa untuk memuat turun aplikasi “AE Online” dan mendaftar akaun pelaburan mangsa menggunakan aplikasi tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata Mancha lagi, mangsa yang terpedaya telah melakukan beberapa transaksi wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek berjumlah lebih kurang RM1,000,000.
"Mangsa telah menyedari dirinya ditipu apabila mangsa diminta untuk membuat transaksi pembayaran lain dan tidak dapat mengeluarkan pulangan keuntungan di dalam aplikasi “AE Online”," dedahnya.
Justeru, beliau menasihati orang ramai agar jangan terlalu mudah percaya dengan pelaburan-pelaburan yang ditawarkan di laman sosial dan membuat penelitian terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan.
"Selain itu, anda disarankan agar membuat semakan senarai syarikat dan laman sesawang yang tidak diberi kebenaran atau kelulusan di laman sesawang www.bnm.gov.my / BNM telelink 1-300-88-5465 (Bank Negara Malaysia) dan www.sc.com.my / (03-62048999) (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia)," tambahnya.