Pejalan kaki maut dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan

KUCHING-- Seorang pejalan kaki lelaki maut selepas dilanggar lari sebuah kenderaan di Jalan Setia Raja di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, dalam kemalangan yang dilaporkan berlaku sekitar jam 4.30 pagi itu, mangsa seorang lelaki yang tidak diketahui butiran peribadi berumur dalam lingkungan 30-an.

"Mangsa pejalan kaki dipercayai telah
dilanggar oleh sebuah kenderaan tidak diketahui jenis dan nombor pendaftaran. 

"Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak di tempat kejadian pada jam 4.45 pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.

"Jika disabitkan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak lebih daripada sepuluh tahun dan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih daripada RM50,000," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru kepada orang awam yang melihat kejadian kemalangan tersebut supaya tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan dan mana-mana orang yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Charlie Aloysius di talian 014-8682068 /082-259900 ataupun hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. 

"Oleh itu, pengguna jalan raya adalah dinasihati supaya sentiasa berhati-hati semasa memandu serta mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain agar selamat sampai ke destinasi," ujarnya. 
Next Post Previous Post