Pejalan kaki maut dilanggar lari di Serian
KUCHING-- Seorang pejalan kaki warga emas maut selepas dilanggar lari sebuah kereta di KM 45 Jalan Kuching-Serian semalam.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Neil Beginda berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu sekitar jam 11.20 malam tadi.
"Kemalangan melibatkan seorang pejalan kaki dengan sebuah kenderaan yang dipercayai telah melarikan diri sejurus selepas kemalangan berlaku.
"Siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa berada di atas besi penghadang jalan sebelah kanan menghala ke Serian.
"Terdapat juga serpihan pecahan cermin pandang sisi dipercayai kenderaan yang melanggar mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya lagi akibat kemalangan tersebut mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kemalangan oleh pihak Paramedik dari Hospital Daerah Serian.
Tegasnya, kes telah disiasat dibawah Sek. 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Justeru, pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kemalangan tersebut untuk menghubungi pegawai penyiasat ASP Keny Charles di talian 082 - 874201 atau tampil ke balai polis berhampiran," ujarnya.
Tambahnya, ahli keluarga mangsa telah hadir untuk membuat pengecaman dan pengesahan identiti mangsa.
tamat