Nurul Asikin selamat dikebumikan

KUCHING-- Jenazah Allahyarhamah Nurul Asikin Lan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Petra Jaya tengah hari tadi.

Mangsa kes bunuh itu disemadikan selepas selesai proses bedah siasat dan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dijalankan di Hospital Umum Sarawak.

Jenazah Allahyarhamah diuruskan dan dikafankan di Hospital Umum Sarawak sebelum dibawa ke surau berdekatan Tanah Perkuburan Islam Samariang untuk disembahyangkan sebelum dikebumikan.

Suasana hiba dan pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Samariang dengan kehadiran ahli keluarga Allahyarham sebaik saja jenazah Nurul Asikin tiba di Kompleks Perkuburan Samariang sekitar jam 12.29 tengah hari.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan kira-kira jam 1.20 tengah hari tadi.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah mengesahkan mayat wanita yang dijumpai reput di longkang Jalan Setia Raja, Tabuan adalah mangsa yang dilaporkan hilang yang dikenali sebagai Nur Asikin Lan, berusia 26 tahun.

Jelasnya, ini hasil keputusan laporan DNA yang telah dijalankan untuk mengesahkan identiti mangsa susulan keadaan mayat yang telah reput.

"Hari ini (semalam) polis mengesahkan hasil laporan DNA identiti mayat yang dijumpai hampir reput di kawasan longkang, Jalan Setia Raja, adalah merupakan seorang wanita yang bernama Nurul Asikin Lan berhubung dengan kes bunuh yang sedang disiasat," katanya.

Pada Ahad, seorang lelaki, 23, direman tujuh hari sehingga 22 Disember bagi membantu siasatan.

Jelasnya kes itu diklasifikasikan sebagai kes bunuh.

"Bertindak atas maklumat, polis telah menemui mayat yang hampir reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Motif pembunuhan dipercayai akibat terdesak suspek untuk mendapatkan wang dengan mengadai barang kemas milik mangsa untuk digunakan menyaksikan perlawanan bola sepak Malaysia-Kemboja Piala Mitsubishi Electric ASEAN 2024 di Phnom Penh, Kemboja.
Previous Post