Musim tengkujuh: Sarawak antara enam negeri diramal alami episod hujan lebat
KUCHING-- Sarawak antara enam negeri yang diramalkan akan mengalami lima hingga tujuh episod hujan lebat ketika musim tengkujuh yang bermula 5 November hingga Mac tahun depan, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Selain Sarawak, Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air itu berkata lima negeri lain adalah Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, dan Sabah.
"Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan musim tengkujuh yang bermula 5 November 2024 lalu dijangka berlanjutan hingga Mac 2025.
"MET Malaysia juga meramalkan lima hingga tujuh episod hujan lebat melibatkan negeri Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak, dan Sabah," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas meninjau dan mendengar taklimat di ‘War Room’ Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) di Pusat Ramalan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jalan Ampang, Kuala Lumpur serta ‘War Room’ Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Wisma TNB Petaling Jaya, Selangor semalam.
Fadillah memberitahu 'War Room" berkenaan dibuka bagi memantau keadaan banjir di seluruh negara dan mengambil tindakan perlu pada kadar segera.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan banjir besar berpotensi berlaku di 4,619 kawasan panas banjir akibat limpahan sungai setelah hujan lebat berterusan melebihi 6 jam.
"Sehingga 2 Disember 2024 sebanyak 31 Notis Ramalan Awal dikeluarkan PRABN di 11 Negeri termasuk Johor, Kelantan, dan Terengganu.
"Sebanyak 27 Notis Hebahan Amaran Banjir dikeluarkan di 27 daerah melibatkan 518 kawasan banjir.
"Pada 2 Disember 2024, amaran banjir dikeluarkan di Besut (7 kawasan) dan Setiu (3 kawasan), dengan risiko banjir antara 3 hingga 6 Disember 2024," dedahnya.
Mengenai episod hujan pula katanya dari 26 hingga 30 November 2024 menyaksikan 674 notifikasi hujan lebat (>60mm) dan 27,972 notifikasi aras air sungai tahap bahaya.
"Kelantan mencatatkan bacaan hujan luar biasa di sembilan stesen, termasuk Kusial, Tanah Merah (1,167mm), manakala Terengganu menyaksikan bacaan tertinggi di Kalabe, Besut (1,439mm)," ujarnya.
Dari segi kesiapsiagaan infrastruktur Fadillah berkata, JPS mengoperasikan aset kritikal iaitu 529 pam bergerak, 285 rumah pam dan 16 empangan selain Pemantauan 24/7 dilakukan melalui PRABN.
Manakala TNB pula, katanya, memainkan peranan utama memastikan kestabilan bekalan tenaga semasa musim banjir di mana TNB memastikan penutupan bekalan dilakukan secara terkawal di kawasan terjejas.
"Genset mudah alih disediakan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), manakala teknologi seperti Flood Analysis and Risk Assessment (FARA) digunakan untuk ramalan risiko.
"TNB juga memantau 24 jam setiap hari paras air di 13 empangan hidroelektrik. Pelepasan air dilakukan mengikut SOP ketat bagi mengelakkan banjir," jelasnya lagi.
Pada masa sama beliau memberitahu maklumat sahih disebarkan melalui saluran rasmi seperti Facebook TNB CareLine.
"Panduan keselamatan elektrik turut dikongsikan kepada masyarakat.
"TNB memberi jaminan akan memastikan pemulihan bekalan dilakukan segera dengan sokongan aset seperti bot, telefon satelit, dan flood barriers.
"Manakala naik taraf aset di kawasan berisiko tinggi dilaksanakan sebagai langkah pencegahan," tambahnya.
Justeru, beliau menegaskan kerajaan komited memastikan keselamatan rakyat semasa musim banjir.
"Kerjasama antara agensi seperti JPS, TNB, MET Malaysia, dan NADMA menjadi teras kepada pengurusan bencana yang cekap.
"Penduduk juga digalak mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi seperti portal Public Infobanjir dan laman media sosial TNB," katanya.