Lelaki dikhuatiri dibaham buaya ketika cuci perahu

KINABATANGAN-- Seorang lelaki dilaporkan hilang ketika mencuci perahu dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Sri Ganda di sini semalam.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kehilangan Kisman Baco, 36, sekitar jam 10.35 malam tadi.

"Susulan itu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan dikerahkan ke lokasi.

"Mangsa dilaporkan dikhuatiri dibaham buaya di tepi Sungai. 

"Menurut saksi iaitu anak mangsa, dia bersama ayahnya sedang mencuci perahu di tepi sungai dan menyedari ayahnya tiba-tiba tiada," katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan.

"Pencarian dijalankan sejauh dua kilometer (km) di kawasan hulu dan muara sungai bersama agensi bantuan yang lain dan orang kampung," jelasnya.

Namun, katanya operasi ditangguhkan pada jam 5 petang tadi dan akan disambung pada esok hari. 
Next Post Previous Post