Lagi buaya berjaya ditangkap di Sungai Semariang Batu

KUCHING-- Seekor lagi buaya sepanjang 10 kaki berjaya ditangkap di Sungai Semariang Batu hari ini.

Menurut kenyataan Sarawak Forestry Corporation (SFC), buaya betina tersebut telah ditembak mati selepas termakan pancing yang dipasang di sepanjang sungai di Semariang Batu.


"Pada hari ke-4, seekor buaya betina berukuran 10 kaki telah berjaya ditembak mati di Sungai Semariang Batu daripada kaedah pemasangan pancing.

"Anggota SWAT SFC akan meneruskan operasi menangkap beberapa buaya yang kerap dijumpai berhampiran rumah penduduk," katanya.


Dua hari lalu, SFC juga berjaya menangkap seekor buaya berukuran anggaran 13 kaki, menggunakan kaedah yang sama.

Buaya-buaya berkenaan ditangkap semasa Ops Buaya (Zon Nyah Buaya) di Sepanjang Sungai (Semariang Batu) yang bermula 10 hingga 17 Disember 2024.


Jelas SFC, operasi "Nyah Buaya" itu dilancarkan berikutan aduan orang awam tentang kemunculan buaya di kawasan-kawasan yang terbabit.

"Sungai-sungai berhampiran Kampung Semariang merupakan kawasan operasi "Nyah Buaya" dijalankan. 


"Anggota SWAT SFC terlibat dengan misi menjejaki serta menangkap buaya bagi mengurangkan populasi buaya sepanjang sungai tersebut. 

"Kaedah seperti pemasangan pancing dan penggunaan senjata api digunakan sepanjang operasi berjalan," ujarnya.


Sehubungan itu, tegasnya, SFC memohon agak penduduk kampung memberi kerjasama sepenuhnya untuk memastikan operasi ini berjalan dengan jaya dan selamat.
Next Post Previous Post