Kes penemuan mayat di Jalan Setia Raja diklasifikasi sebagai kes bunuh: KPD Kuching

KUCHING-- Kes penemuan mayat yang hampir reput di Jalan Setia Raja di sini semalam diklasifikasikan sebagai kes bunuh, tegas Ketua Polis Daerah Kuching ACP Mohd Farhan Lee Abdullah.

Beliau yang mengesahkan kes itu berkata, suspek seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditangkap semalam kerana disyaki terlibat kes tersebut.

"Bertindak atas maklumat, polis telah menemui mayat yang hampir reput di kawasan longkang Jalan Setia Raja. 

"Proses mengenal pasti identiti mayat serta bedah siasat akan dilakukan bagi membantu siasatan. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Farhan, suspek kini direman tujuh hari sehingga 22 Disember.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih kerana ia akan mengganggu siasatan yang dijalankan. 

"Polis juga memohon orang ramai untuk salurkan maklumat ke balai berhampiran berkaitan kejadian ini dengan menghubungi pusat kawalan IPD Kuching di talian 082-24444 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Tan Kian Kok di talian 010-5661576 bagi membantu siasatan," ujarnya.
Next Post Previous Post