JKKK perlu pastikan peruntukan diurus sebaik mungkin untuk penduduk kampung-Fadillah
BETONG-- Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan kampung (JKKK) perlu memastikan peruntukan yang diberi diuruskan sebaik mungkin demi manfaat JKKK dan penduduk setempat.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, apabila sesebuah JKKK mempunyai kewangan yang kukuh kerana urus tadbir yang baik, ia mampu memberi kemudahan kepada masyarakat setempat.
"Sekiranya sesebuah JKKK tidak mempunyai kepakaran untuk tadbir urus dan mengembangkan kewangan, pergilah mendapatkan nasihat serta pandangan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pakar.
"Jangan malu bertanya dan pergilah mendalami ilmu pengurusan akaun serta perniagaan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Dana Sejati Madani Daerah Pusa di Dewan Rahmaniah Pusa, hari ini.
Pada masa sama Fadillah memberitahu apabila JKKK mempunyai kepakaran urus tadbir kewangan, ia akan menjadi JKKK yang kuat dan berkembang maju hingga mampu membantu masyarakat secara menyeluruh.
"Saya yakin apabila JKKK mempunyai kepakaran urus tadbir kewangan, ia akan menjadi JKKK yang kuat dan berkembang maju hingga mampu membantu masyarakat secara menyeluruh.
"Justeru, saya mengucapkan tahniah kepada 13 JKKK Daerah Pusa yang telah diluluskan Dana Sejati Madani berjumlah RM1.27 juta melibatkan bantuan untuk program seperti Pertanian Pintar Fertigasi Cili, Perternakan Ikan Talapia Merah dan Kemudahan Sewaan PA System/Kanopi/Alat Muzik," ujarnya lagi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar Mohamad Shafizan Haji Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro Razaili Gapor dan ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor.