Dua tersepit dalam kemalangan Almera, Proton di Simpang Kampung Terasi

ASAJAYA-- Dua mangsa tersepit dalam kemalangan melibatkan kenderaan Nissan Almera dan Proton Persona di Simpang Kampung Terasi, Sadong Jaya, tengah hari tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 12.55 tengah hari.

"Susulan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Asajaya dikerahkan ke lokasi.

"Tiba di lokasi komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu Nissan Almera dan Proton Persona.

"Terdapat tujuh orang mangsa terlibat yang mana lima mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital berhampiran oleh orang awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Manakala dua lagi mangsa katanya, masih tersepit di dalam kereta.

Berikutan itu, jelasnya pasukan bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang masih tersepit.

Kemudian katanya kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak perubatan untuk rawatan lanjut selepas berjaya dikeluarkan.
Next Post Previous Post