Dua projek di Samarahan dahulunya kategori sakit kini tunjuk kemajuan memberangsangkan-Fadillah

KOTA SAMARAHAN -- Projek Hospital Pengajar dan Pusat Kesihatan Prima (PKP) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Samarahan yang dahulunya dikategorikan projek sakit kini menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kedua-dua projek itu dahulunya pernah dikategorikan sebagai projek sakit, namun kini telah menunjukkan kemajuan yang memberangsangkan hasil daripada pemantauan rapi serta penyelarasan projek yang lebih teratur.

"Dengan komitmen semua pihak, kedua-dua projek ini dijangka dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan, sekali gus memberi manfaat besar kepada masyarakat setempat di Sarawak. 

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam memastikan projek-projek ini berjalan lancar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke dua tapak projek tersebut di sini hari ini.

Tegas Fadillah, komitmen dan penyelarasan yang baik antara agensi persekutuan dan negeri adalah kunci kepada kejayaan projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sarawak.

"Mari kita teruskan usaha ini untuk memastikan projek-projek yang diluluskan dapat disiapkan mengikut tempoh dan bajet yang ditetapkan. 

"Komitmen seperti inilah yang menjadi asas kepada pembangunan yang inklusif dan berdaya tahan," ujarnya.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air turut mempengerusikan Mesyuarat Khas Penyelarasan Pemantauan Program/Projek Pembangunan Negeri Sarawak Tahun 2024.

Jelasnya, mesyuarat pertama yang melibatkan kerjasama persekutuan dan negeri itu bagi memastikan projek pembangunan dilaksanakan dengan lebih berkesan.

"Ini adalah amanah yang diberikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kepada saya untuk memantau pelaksanaan projek-projek di Sabah dan Sarawak. 

"Minggu lalu, mesyuarat serupa telah diadakan di Sabah," jelasnya.

Tambahnya mesyuarat hari ini membincangkan status projek pembangunan di Sarawak di mana beberapa projek sakit telah dikenal pasti, dengan langkah-langkah penyelesaian disusun termasuk pemantauan rapi, penamatan kontraktor yang tidak berprestasi, dan pemberian lanjutan masa (EOT) bagi projek-projek yang masih boleh diselamatkan.

"Antara isu utama yang dibangkitkan adalah kelewatan disebabkan masalah kontraktor, cabaran logistik, isu berkaitan tanah, kenaikan kos, serta keperluan tambahan peruntukan," katanya.
Next Post Previous Post