Dua pekerja parah, dua lagi melecur di badan dalam insiden stove kilang papan lapis meletup di Kuala Baram
MIRI -- Dua pekerja parah, manakala dua lagi melecur pada bahagian badan dalam insiden stove kilang papan lapis terbakar dan meletup di sebuah kilang di Kuala Baram pagi tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong Henry Jugah, sepasukan anggota bomba dikerahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden pada jam 10.40 pagi.
"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kebakaran serta letupan yang melibatkan stove yang digunakan bagi memproses dan memasak kayu bagi tujuan komersil," jelasnya.
Pasukan bomba kemudiannya bertindak memadam kebakaran serta melakukan proses penyejukan bagi memastikan tiada berlakunya kebakaran berulang.
Bagaimanapun katanya semasa pasukan bomba tiba kesemua mangsa yang merupakan dua warga tempatan, seorang warga China dan seorang lagi warganegara Indonesia berusia antara 24 dan 57 tahun sudah dihantar oleh kilang ke Hospital Miri bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Punca kejadian bagaimanapun masih lagi dalam siasatan.