Buaya tersesat masuk ke bahagian belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Lingkau Simunjan ditangkap

SIMUNJAN -- Seekor buaya sepanjang 12 kaki yang tersesat masuk ke bahagian belakang sebuah kediaman di Kampung Sungai Lingkau di sini awal pagi tadi berjaya ditangkap pasukan bomba.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota dari BBP Simunjan bergerak ke lokasi bagi menjalankan khidmat khas menangkap reptilia ganas itu sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 7.02 pagi.

"Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati sememangnya terdapat seekor buaya sepanjang 12 kaki yang terperangkap di belakang rumah pemanggil,' jelasnya.

Pihak bomba kemudiannya bertindak menangkap buaya berkenaan dengan menjalankan operasi menggunakan tali dan guni bagimenutup mata reptilia terbabit sekaligus memudahkan kerja-kerja mengikat bahagian kepala dan kaki.

"Sejurus berjaya ditangkap, buaya tersebut diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya," tambah beliau.
Next Post Previous Post