Ancaman banjir: Sarawak bersiap teliti termasuk sediakan pek sajian cepat berkhasiat di PPS
KUCHING-- Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) kini bersiap sedia menggerakkan 7,507 anggota dari pelbagai agensi bersama aset-aset kritikal termasuk menyediakan pek makanan segera bagi menghadapi musim bah di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak selaku Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sejumlah 31 pangkalan hadapan turut diwujudkan di seluruh Sarawak.
"Pangkalan hadapan ini adalah bagi menyokong keperluan 661 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Selain itu, kita juga mempunyai satu Depoh Simpanan Bencana di Kota Samarahan serta dua mini Depoh Simpanan Bencana.
“Ini penting untuk menyimpan bekalan makanan yang dapat diagihkan dengan segera sekiranya berlaku bencana," katanya sambil menambah JPBNS turut memperkenalkan sejumlah 2,000 pek makanan segera berupa nasi berlauk yang mudah disediakan dengan hanya menambah air untuk mengaktifkan agen pemanas.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat JPBNS di sini, hari ini yang turut dihadiri Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah dan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom.
Mengulas lanjut tentang aset-aset kritikal telah disediakan bagi menghadapi kemungkinan banjir, Uggah berkata, antaranya 214 bot, tiga jet ski, 263 kenderaan pacuan empat roda, 78 lori, 32 ambulans, 152 motosikal, dua bas, empat helikopter dan 15 dron.
“Dari segi kekuatan anggota, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai 1,406 anggota, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) 1,462 anggota, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) 2,759 anggota, dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak melibatkan 1,880 anggota.
“Jumlah keseluruhan anggota yang digerakkan di seluruh Sarawak adalah 7,507,” dedahnya.
Bagi memastikan tindak balas pantas, beliau memberitahu, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak telah mengemas kini sistem telemetri amaran banjir serta memperbaiki kemudahan berkaitan.
Tegasnya, amaran awal amat penting kerana dengan sistem itu pihaknya dapat memaklumkan kawasan yang berisiko lebih awal dan menggerakkan bantuan dengan segera.
Sementara itu, Jabatan Metereologi Malaysia menjangkakan Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia akan bermula pada 5 November 2024 dan berterusan sehingga Mac 2025.