Adik beradik lemas semasa mandi-manda di kawasan Bayshore Pantai Lutong
MIRI -- Keseronokan mandi-manda selepas memancing berakhir tragedi selepas dua adik beradik dijumpai lemas dibawa arus deras air laut di Pantai Lutong di sini petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Lutong selaku Komander Operasi, Henry Jugah berkata, mayat mangsa pertama dijumpai Jabatan Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong terdampar di kawasan pantai pada jam 2.40 petang manakala mangsa yang kedua dijumpai terapung pada jarak 30 meter dari pantai pada jam 2.50 petang.
"Maklumat awal yang diterima mengesahkan kedua-dua mangsa dikenali sebagai Muhd Nur Fadilah Zamri berusia 23 dan adiknya, Muhammad Faris Zamri berusia 18 tahun," ujarnya.
Sepasukan anggota bomba dari BBP Lutong bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 2.17 petang.
Sampai di lokasi katanya, pasukan bomba memulakan usaha pencarian di sekitar pantai sebelum kedua-dua mangsa berjaya dijumpai.
Rakan mangsa yang turut berada di lokasi berkata semasa kejadian, ketiga-tiga mereka mandi di kawasan pantai selepas memancing sebelum kedua-dua adik beradik itu dibawa arus deras laut dan tenggelam.
Ketika ini katanya, pasukan bomba masih menunggu ketibaan pihak KKM bagi menjalankan pemeriksaan ke atas kedua-dua mangsa.