Zaid silap dalam memahami undang-undang maritim-Ibrahim
KUCHING-- Pandangan dan kenyataan bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim adalah satu silap dalam memahami undang-undang maritim, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok Datuk Ibrahim Baki.
Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu menjelaskan tanggapan Zaid berkaitan keupayaan mengeksploitasi sumber petroleum dan had wilayah sesebuah negeri tidak boleh disamakan adalah kurang tepat.
Jelas beliau di Malaysia, Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi dan ia menetapkan kuasa legislatif ke atas eksploitasi sumber seperti petroleum yang merupakan sebahagian daripada tanah.
“Di bawah Perkara 2 dalam Senarai Negeri (Senarai Kesembilan), negeri mempunyai kuasa legislatif (dan eksekutif) ke atas tanah.
"Kuasa ini termasuk seperti dalam Perkara 2(c) Pengeluaran Lesen Mencarigali, Pajakan Perlombongan dan Sijil.
“Perkara 8(j) dalam Senarai I (Senarai Persekutuan) secara jelas tertakluk kepada Perkara 2(c) dalam Senarai Negeri," tegasnya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ibrahim, kerajaan persekutuan mungkin mempunyai kuasa untuk pembangunan sumber asli, minyak dan medan minyak tetapi ia tetap tertakluk kepada Perkara 2(c) Senarai Negeri.
Menurutnya lagi, semua negeri termasuk Sarawak berhak mengawal perlombongan petroleum atau pembangunan medan minyak di tanah negeri manakala kuasa kerajaan persekutuan untuk membangunkan sumber petroleum tertakluk kepada lesen, pajakan serta sijil yang dikeluarkan oleh negeri.
“Memandangkan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi bukannya Parlimen.
Atas asas apa Parlimen meluluskan Akta Perlombongan Petroleum 1966 untuk membolehkan Pihak Berkuasa Petroleum Persekutuan mengeluarkan pajakan perlombongan?
“Mungkin Datuk Zaid boleh menjelaskan di bawah peruntukan mana dalam Perlembagaan Persekutuan, Parlimen diberi kuasa untuk meluluskan undang-undang yang memberikan semua petroleum di darat dan laut Sarawak kepada PETRONAS,” katanya.
Tambah beliau lagi, rakyat Sarawak berhak merasa tidak berpuas hati kerana hak mereka untuk mengeksploitasi sumber petroleum di darat dan laut Sarawak telah dinafikan melalui undang-undang yang mungkin melangkaui kuasa perlembagaan Parlimen.
Beliau memberitahu rakyat Sarawak mahu bahagian hasil yang lebih adil daripada petroleum yang dihasilkan di negeri mereka setelah menyumbang hampir RM1 trilion kepada perbendaharaan Persekutuan sejak penggubalan Akta Pembangunan Petroleum 1974.
Selain itu, katanya, mereka juga mahukan lebih banyak gas asli untuk menyokong pembangunan industri tempatan dan pengembangan penjanaan kuasa.
Pada masa sama Ibrahim menjelaskan bagi had geologi wilayah Sarawak pula, tiada siapa boleh menafikan bahawa "Order in Council 1954" telah memperluas sempadan Sarawak untuk merangkumi dasar laut dan sublapisan yang membentuk Pelantar Benua bersebelahan dengan perairan wilayah.
“Kawasan tenggelam yang diperluaskan ini merupakan tanah takhta yang pada Hari Malaysia telah diserahkan oleh Raja British kepada Sarawak melalui salah satu instrumen perlembagaan yang dilampirkan pada Perjanjian Malaysia seperti yang dinyatakan dalam Perkara III.
“Kawasan tenggelam yang diperluaskan di Pelantar Benua ini tidak pernah diserahkan oleh Kerajaan British kepada Persekutuan atau Kerajaan Persekutuan,” jelasnya.
Tuntutan Malaysia terhadap kedaulatan pelantar benua di bawah Undang-Undang Lautan PBB (UNCLOS) 1982 katanya lagi, tidak menjejaskan hak dan kuasa Sarawak atau wilayahnya.
Hal ini katanya, dengan jelas dinyatakan dalam definisi Pelantar Benua dalam Akta Pelantar Benua 1966 seperti yang dipinda pada 2009.
“Justeru, rakyat Sarawak berharap agar tuntutan mereka yang sah untuk bahagian hasil petroleum yang adil dapat diselesaikan secara baik.
“Mereka juga ingin mendapatkan lebih banyak gas asli untuk industri tempatan serta hak yang lebih besar untuk menyertai perniagaan minyak dan gas huluan serta hiliran.
"Rakyat Sarawak mahu semua undang-undang yang melindungi wilayah ini serta haknya ke atas sumber petroleum dan industri minyak dan gas hiliran dihormati serta dipatuhi sepenuhnya oleh semua pihak yang beroperasi di Sarawak," ujarnya.
Terdahulu, Zaid dalam laporan FMT menyangkal dakwaan Sarawak bahawa sempadan wilayahnya diluaskan sebelum penubuhan Malaysia, dengan berkata pendirian negeri itu berdasarkan salah faham tentang undang-undang maritim.
Bercakap atas kapasiti peribadinya, Zaid berkata, Sarawak seolah-olah salah faham perbezaan antara ‘kebolehan eksploitasi’ dan ‘konsep geologi had wilayah sesebuah negeri’.
“Dua konsep ini tidak boleh digabungkan,” katanya.
Beliau berkata ‘kebolehan eksploitasi’ merujuk kepada hak negeri menggunakan dan mengekstrak sumber dari kawasan maritim tertentu, seperti pelantar benua.
“‘Sarawak (Alteration of Boundaries) Order in Council 1954’ dan ‘Geneva Convention on the Law of the Sea 1958’ menyentuh tentang apa yang boleh dilombong di mana, iaitu ‘kebolehan eksploitasi’.
“Ia bukan tentang apa yang pernah jadi sebahagian daripada Sarawak, atau tidak, yang kita rujuk sebagai ‘had wilayah’,” kata Zaid.
Beliau berkata, isu had wilayah negeri hanya ditangani dalam Konvensyen Undang-undang Laut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 1982 (Unclos).