Warga emas terkejut tanah dibelinya pada 2014 diceroboh, sudah 10 rumah haram dibina termasuk surau
KUCHING-- Seorang lelaki warga emas terkejut tanah yang dimilikinya di Asajaya telah diceboroh dan dibangunkan rumah kediaman termasuk surau tanpa kebenaran.
Tan Khi Mong, 67, yang merupakan pemilik berdaftar ke atas tanah seluas 1.901 hektar di Asajaya itu mendapati 10 rumah kediaman dan sebuah surau dibina atas tanah miliknya.
Jelasnya, beliau tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana individu untuk membina atau membangunkan rumah di tanah miliknya itu.
Difahamkan beliau telah membeli tanah yang diklasifikasikan "mixed-zone land" tersebut pada 2014 lalu dan menyedari tanahnya telah diceroboh sekitar 12 Mac 2023.
Berikutan kejadian itu juga beliau telah membuat laporan polis pada 2 Mei 2023.
Pada masa sama beliau juga mendapatkan khidmat seorang juruukur untuk menyediakan laporan bagi menentukan tanah miliknya yang telah diceboroh itu.
Katanya, hasil dapatan daripada juruukur terbabit mendapati terdapat 10 bangunan (rumah kediaman) termasuk sebuah surau dibina di atas tanah tersebut.
Selain itu, katanya terdapat satu premis sedang dalam pembinaan dan satu lagi premis telah roboh.
"Sejak itu, kami menulis surat kepada Majlis Perbandaran Kota Samarahan untuk mendapatkan pengesahan bertulis mereka sama ada sebarang kelulusan telah diberikan kepada mereka untuk pembinaan mana-mana premis di tanah tersebut, termasuk surau.
"MPKS telah mendapatkan bantuan dan campur tangan Jabatan Tanah dan Survei Samarahan untuk menyiasat perkara itu dengan lebih lanjut memandangkan isu tanah adalah di bawah bidang kuasa mereka," katanya.
Tambahnya lagi, Jabatan Tanah dan Ukur telah menjalankan siasatan di tapak dan mengesahkan bahawa lebih kurang 10 rumah dan sebuah surau telah dibina di atas tanah tersebut.
Menurutnya, Jabatan Tanah dan Survei juga mengesahkan bahawa penghuni telah melakukan pencerobohan dan menduduki tanah berkenaan secara haram.
Pada masa yang sama, Jabatan Tanah dan Survei telah mengesyorkan agar Encik Tan "mengambil tindakan undang-undang terhadap penceroboh tanah tersebut".
Susulan itu dan atas cadangan Jabatan Tanah dan Survei, beliau menerusi Chong Brothers memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan pemilikan kosong tanah tersebut.