Wang saku RM1,200 untuk pelajar Sarawak B40
KUCHING-- Pelajar Sarawak dari golongan keluarga berpendapatan rendah RM1,500 ke bawah bakal menikmati pemberian bantuan kewangan khas dalam bentuk wang saku sebanyak RM1,200 tahun depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan itu untuk pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
"Untuk tahun 2025, sukacita saya mengumumkan bahawa saya akan memperkenalkan bantuan kewangan khas untuk pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia dalam bentuk wang saku sebanyak RM1,200 setiap pelajar.
"Bantuan kewangan ini akan memanfaatkan 25,000 pelajar Sarawak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita isi rumah RM1,500 ke bawah sebulan.
"Wang yang diberikan akan dibelanjakan untuk makanan dan barangan keperluan untuk membantu mereka mengurangkan kos sara hidup," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.
Jelas Abang Johari, sebanyak RM30 juta akan diperuntukkan untuk melaksanakan inisiatif tersebut.
Mengenai Program Bantuan Pendidikan pula, beliau berkata peruntukan yang besar untuk pelbagai program bantuan pendidikan akan terus disediakan kerana ia merupakan pelaburan penting untuk masa depan anak-anak Sarawak.
Tambahnya, sebagai bantuan kepada graduan Sarawak yang telah membayar balik pinjaman PTPTN 30 peratus dan ke atas, diskaun bayaran balik pinjaman sebanyak 30 peratus akan diberikan sebagai insentif untuk menjelaskan sepenuhnya baki pinjaman tertunggak.
"Sejak insentif ini diperkenalkan pada 2021, kira-kira 31,706 peminjam telah mendapat manfaat, melibatkan jumlah keseluruhan RM116.57 juta.
"Bagi 2024, terdapat 5,419 peminjam yang layak dengan jumlah bantuan kewangan sebanyak RM26.15 juta.
"Pada 2025, peruntukan sebanyak RM15 juta akan disediakan untuk tujuan yang sama," ujarnya.
Dalam pada itu, menyedari keperluan untuk mengurangkan tekanan kos sara hidup dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana, Abang Johari memberitahu kerajaan Sarawak memperkenalkan dua inisiatif utama yang telah dilancarkan pada Ogos tahun ini.
"Pertama, Baucar buku RM500 seorang untuk pelajar IPTA dan IPTS Sarawak bagi isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 sebulan dan ke bawah.
"Sejumlah RM2 juta akan diperuntukkan untuk tujuan ini dalam Bajet 2025.
"Kedua, Komputer riba percuma akan diberikan kepada pelajar Sarawak yang berjaya mendaftar ke IPTA dan IPTS bagi isi rumah berpendapatan per kapita RM1,500 sebulan dan ke bawah.
"Bantuan ini akan memperkasakan pelajar kita dengan teknologi penting yang mereka perlukan untuk cemerlang dalam usaha akademik mereka dengan peruntukan RM30.5 juta tahun depan, yang akan memanfaatkan 10,166 pelajar," jelasnya lagi.
Justeru, dengan inisiatif ini daripada pendidikan awal kanak-kanak hingga pendidikan tinggi, beliau berharap para pelajar Sarawak akan terus cemerlang dalam pelajaran dan membantu mereka yang memerlukan peningkatan dalam melangkah ke peringkat seterusnya dalam kehidupan.