Tong gas kuning masih boleh ditukar ke tong gas merah secara percuma-Julaihi
KUCHING-- Penukaran silinder gas petroleum cecair (LPG) berwarna kuning kepada silinder LPG bersubsidi PETROS secara one-to-one tanpa caj tambahan masih lagi berterusan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi.
Beliau menegaskan mana-mana pengedar dan sub-pengedar yang enggan menerima pertukaran silinder LPG akan diambil tindakan tegas.
"Pelanggan yang menghadapi kesukaran untuk menukar silinder LPG Kuning kepada silinder LPG bersubsidi PETROS warna merah daripada pengedar diminta melaporkan kepada PETROSNiaga melalui talian PETROS LPG: 1300882-122.
"Pada masa kini, terdapat 67 pengedar dan lebih daripada 300 sub-pengedar di seluruh Sarawak," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Tambah Julaihi, meskipun terdapat beberapa kes terpencil, beliau meminta semua pihak bekerjasama untuk menyelesaikan cabaran mengenai proses pertukaran silinder LPG bersubsidi.
"Contohnya, Sibu ialah salah satu kawasan tumpuan pada peringkat awal peralihan ini.
"Wakil-wakil rakyat di Sibu kini menerima peranan yang dimainkan PETROSNiaga dalam pengedaran silinder LPG bersubsidi.
"Kerjasama ini telah banyak membantu kelancaran operasi LPG PETROS di Sibu," katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, setakat ini, dianggarkan lebih daripada 95 peratus silinder LPG kuning telah ditukar kepada silinder LPG PETROS warna merah.
Katanya, PETROSNiaga merupakan pengedar tunggal LPG bersubsidi di Sarawak dan sehingga kini, proses penukaran silinder LPG kuning kepada Silinder LPG bersubsidi PETROS secara one-to-one tanpa caj tambahan masih lagi berterusan.
"Setakat Oktober 2024, PETROSNiaga telah menukar silinder LPG kuning kepada silinder LPG PETROS sebanyak 690,000 unit.
"Kini, terdapat kira-kira 1.8 juta silinder LPG bersubsidi PETROS tersedia dalam pasaran di seluruh Sarawak," katanya.
Menurutnya lagi, pada peringkat awal, PETROSNiaga telah menanggung kos sebanyak RM50 juta bagi menyediakan 350,000 silinder LPG PETROS warna merah baharu.
Namun, jelasnya, setakat ini, kos tersebut telah meningkat kepada RM100 juta untuk menambahkan jumlah kepada 700,000 silinder LPG PETROS warna merah bagi kelancaran proses penukaran silinder one-toone secara percuma di seluruh Sarawak.
Untuk rekod PETROSNiaga merupakan syarikat tempatan yang dimiliki oleh PETROS (51%) dan PETRONAS Dagangan Berhad (49%) kini telah berjaya memainkan peranannya sebagai pengedar tunggal LPG bersubsidi di Sarawak.
Ahli Lembaga Pengarah PETROSNiaga terdiri daripada dua Pengarah PETROS dan dua Pengarah PETRONAS Dagangan Berhad (PDB).