Tergoda tawaran kerja online, wanita di Bau rugi RM43,000

BAU-- Gara-gara tergoda dengan tawaran kerja sambilan dalam talian, seorang wanita di sini mengalami kerugian RM43,000.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Dr Daram Ruer berkata, mangsa berusia 50-an yang bekerja sendiri telah berminat dengan iklan kerja sambilan di Facebook pada 31 Oktober lalu.

"Kemudian mangsa telah menghubungi nombor telefon yang tertera di iklan tersebut. 

"Selepas itu, individu tidak dikenali itu telah menawarkan mangsa pendapatan sampingan sebagai penasihat untuk tempahan hotel dalam laman sesawang www.innseribez.com platform dalam booking.com. 

"Mangsa perlu menaikkan reputasi hotel dan akan memperoleh komisen yang kononnya diperoleh melalui tempahan daripada pelanggan hotel," jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya, pada awal November 2024 mangsa telah membuat 13 transaksi wang secara berperingkat ke tujuh akaun bank yang berbeza berjumlah lebih kurang RM43,000. 

Tambahnyam mangsa menyedari dirinya telah ditipu setelah diminta untuk membuat bayaran lagi berjumlah RM67,000 bagi mendapatkan komisen berjumlah RM30,000.      

Justeru, beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan tawaran kerja sambilan yang tidak wujud yang ditawarkan di media sosial. 
Next Post Previous Post