Seorang maut, seorang lagi cedera, 4WD dinaiki terjunam ke dalam gaung 70 meter di Bulatan Selungun Samalaju
BINTULU -- Seorang lelaki maut manakala seorang lagi rakannya mengalami kecederaan dalam kemalangan kendiri selepas sebuah pacuan empat roda yang dinaiki keduanya terjunam ke dalam gaung sedalam 70 meter di kawaan Bulatan Selungun di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, maklumat awal yang diterima mengesahkan mangsa maut dikenali sebagai Branden Kirong (belum diketahui umur), manakala rakannya berusia 22 tahun.
Sepasukan anggota bomba dari BBP Samalaju bergerak ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung insiden pada jam 11.04 malam bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa.
Sampai di lokasi, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux yang terbabas di gaung sedalam 70 meter dari jalan raya.
Pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat dua orang mangsa lelaki yang mana seorang daripada mereka didapati tercampak keluar dari kenderaan dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri.
"Pemeriksaan yang dijalankan pihak KKM terhadap mangsa mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia," jelasnya.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang mengalami kecederaan diserahkan kepada KKM untuk tindakan lanjut.