Seorang maut, 3 cedera, kereta hilang kawalan lalu jatuh gaung di Jalan Tatau-Bintulu

BINTULU -- Seorang wanita menemui maut manakala tiga lagi mengalami kecederaan selepas kereta model Toyota Avanza yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terjunam ke dalam gaung berdekatan Lapangan Terbang Bintulu di Jalan Bintulu-Tatau pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Sarawak berkata, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 2.33 pagi bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat mangsa.

Menurutnya, mangsa maut dikenali sebagai Talie Ganin dan belum diketahui umur manakala tiga lagi mangsa yang berusia 44 dan 50 tahun dilaporkan mengalami kecederaan dengan seorang lagi mangsa iaitu remaja perempuan berusia 14 tahun patah pada kedua-dua belah kaki.

"Pasukan bomba kemudiannya membawa kesemua mangsa ke lokasi selamat bagi memberi rawatan serta menstabilkan mereka," ujar beliau.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Setelah keadaan didapati benar-benar selamat, maka pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 4.04 pagi sebelum bertolak balik ke balai.
Next Post Previous Post