Semua pelajar Sarawak menuntut di IPT layak terima wang saku RM1,200-Abang Johari
KUCHING-- Semua pelajar Sarawak tanpa mengira jumlah pendapatan keluarga bakal menikmati pemberian bantuan kewangan khas dalam bentuk wang saku sebanyak RM1,200 tahun depan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bantuan itu untuk semua pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia.
"Dalam ucapan Belanjawan Negeri 2025, saya memberikan butiran lanjut mengenai wang saku RM1,200 ini, diberikan kepada pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita isi rumah RM1,500 ke bawah.
"Namun, beberapa Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini telah menyuarakan kebimbangan mereka untuk menggunakan pendapatan per kapita sebagai kriteria kelayakan untuk bantuan ini.
"Saya telah mendengar keluhan ini, dan saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa semua pelajar Sarawak di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia akan layak, tanpa mengira pendapatan keluarga mereka," katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Tegas Abang Johari, ini adalah komitmen kerajaan GPS untuk memastikan kebajikan anak muda Sarawak dijaga dengan baik.
Tambahnua, pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi adalah sumber tenaga mahir untuk masa depan Sarawak.
"Selepas tamat pengajian, merekalah yang akan menyumbang kepada kemajuan Sarawak.
"Saya mahu pelajar kami dapat memberi tumpuan 100 peratus pada pelajaran mereka dan tidak bimbang tentang mendapatkan dana yang mencukupi untuk makanan atau pengangkutan.
"Dan semasa Lan Berambeh 2024 baru-baru ini, saya telah mengumumkan bantuan kewangan khas dalam bentuk wang saku untuk pelajar pengajian tinggi," jelasnya.
Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan kerajaan Sarawak akan memperkenalkan bantuan kewangan khas untuk pelajar Sarawak yang belajar di institusi pengajian tinggi di seluruh Malaysia dalam bentuk wang saku sebanyak RM1,200 setiap pelajar.
Katanya, bantuan kewangan itu akan memanfaatkan 25,000 pelajar Sarawak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan pendapatan per kapita isi rumah RM1,500 ke bawah sebulan.
"Wang yang diberikan akan dibelanjakan untuk makanan dan barangan keperluan untuk membantu mereka mengurangkan kos sara hidup," katanya.