Sarawak pertimbang pinda undang-undang berkaitan dalam Ordinan Air 1994, kenakan penalti lebih tinggi kepada pelaku rosakkan sistem bekalan air
KUCHING-- Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak sedang mengkaji untuk mempertimbangkan pindaan ke atas seksyen berkaitan dalam Ordinan Air 1994 bagi mengenakan penalti yang lebih tinggi kepada pihak menyebabkan kerosakan sistem bekalan air di negeri ini.
Menterinya, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kadar penalti dikenakan kepada pihak ketiga yang menyebabkan kerosakan sistem bekalan air di Sarawak masih rendah iaitu RM5,000 sahaja tidak termasuk kos baik pulih kerosakan dan kadar penalti itu juga adalah rendah jika dibandingkan dengan penalti di tempat lain.
"Di Sarawak, penalti yang dikenakan bagi kesalahan pertama adalah RM5,000 sahaja tidak termasuk kos baik pulih kerosakan berbanding Semenanjung Malaysia dan Sabah yang tidak melebihi RM50,000 dan manakala penalti di Singapura adalah lebih tinggi iaitu tidak melebihi SGD 40,000 berbanding di Malaysia.
"Oleh itu, Kementerian saya memandang serius terhadap perkara ini dan sedang mengkaji untuk mempertimbangkan pindaan ke atas seksyen berkaitan dalam Ordinan Air 1994.
"Ini bertujuan untuk mengenakan penalti yang lebih tinggi dan hukuman yang setimpal kepada pihak yang cuai dan menyebabkan kerosakan kepada sistem bekalan air di Sarawak," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Tambah Julaigi, sejak kebelakangan ini, pengguna sering mengalami gangguan bekalan air yang disebabkan oleh kecuaian pihak ketiga termasuk kontraktor semasa mereka melaksanakan kerja-kerja pembinaan.
"Tidak kurang juga, kerosakan paip agihan kami disebabkan oleh kecuaian pihak lain seperti kemalangan lalu lintas dan kegiatan vandalisme.
"Kerosakan yang berlaku pada saluran paip mengambil masa yang lama untuk dibaik pulih dan menjejaskan perkhidmatan bekalan air.
"Ini juga menyukarkan aktiviti harian pengguna selain memberi imej yang buruk kepada agensi bekalan air.
"Kerosakan ini juga menyebabkan agensi bekalan air terpaksa menanggung kesulitan untuk mengesan kerosakan dan kerja-kerja membaiki paip yang rosak," jelasnya.
Malah, Julaihi berkata, agensi bekalan air berkaitan juga mengalami kerugian dari segi kehilangan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW).