Sarawak laksana Pentaksiran Standard DLP untuk Murid Tahun 6 tahun depan-Sagah
Sagah merakam gambar bersama pelajar SJK (C) Chung Hua No 6 Kuching yang berjaya memenangi emas pada pertandingan International Innovative Tech Summit 2024 di China pada 9 hingga 11 November 2024. Gambar UKAS |
KUCHING-- Murid Tahun 6 di Sarawak akan terlibat dalam Pentaksiran Standard Program Dwi Bahasa (DLP) bagi menilai kemajuan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris yang dilaksanakan di negeri ini.
Menteri Pendidikan, Inovasi, dan Pembangunan Bakat Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, Pentaksiran Standard itu akan dilakukan pada tahun hadapan melibatkan murid Tahun 6.
"Selepas mempertimbangkan banyak permintaan daripada pelbagai pihak mengenai keperluan untuk mengadakan Pentaksiran Standard, sukacita saya mengumumkan bahawa Sarawak melaksanakan Pentaksiran Standard untuk pelajar DLP Sarawak di Tahun 6 mulai 2025.
"Sementara itu, pelajar Tingkatan 3 pula, pelaksanaan Penilaian Standard ini akan bermula pada 2,028," katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Mengulas lanjut objektif utama pentaksiran itu, Sagah berkata, ia untuk menilai kemajuan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris di bawah program DLP Sarawak.
Tambahnya, kohort pertama DLP Sarawak akan mencapai Tahun 6 pada 2025, dan ini adalah masa yang sesuai untuk menilai kesan program berkenaan dan melakukan penambahbaikan jika diperlukan.
Pada masa sama beliau berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana telah memberikan kelulusan untuk melaksanakan pentaksiran berkenaan.
"Pentaksiran ini juga sebagai persediaan awal bagi membantu pelajar membina kemahiran dan keyakinan yang diperlukan untuk menduduki peperiksaan awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Bagi Tahun 6, kementerian saya dengan kerjasama Cambridge University Press and Assessment, institusi pengajian tinggi milik Sarawak, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan sekolah swasta di Sarawak, kini sedang membangunkan instrumen penilaian tersebut,” jelasnya.
Kata beliau lagi, Cambridge University Press and Assessment menyediakan kepakaran untuk memastikan standard yang ditetapkan setaraf dengan penanda aras antarabangsa.
“Usaha kolaboratif ini akan membolehkan Penilaian Standard pertama bagi DLP Sarawak di Tahun 6 dilaksanakan pada tahun 2025, meliputi mata pelajaran Sains, Matematik, dan Bahasa Inggeris.
"Oleh itu, saya menyeru semua pihak berkepentingan termasuk guru, ibu bapa, dan komuniti untuk menyokong inisiatif ini bagi memastikan kejayaannya dan meningkatkan kualiti pendidikan di Sarawak," tegasnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 6,545 guru DLP dari Tahun 1 hingga Tahun 5 telah dilatih setakat ini, manakala guru-guru DLP Tahun 6 dan Tingkatan 1 akan dilatih pada tahun hadapan.
“Pada masa sama kementerian saya sentiasa bekerjasama dengan JPNS untuk merangka program intervensi DLP yang disasarkan dan disesuaikan serta menyediakan bahan pengajaran dan pembelajaran tambahan bagi meningkatkan lagi keberkesanan DLP Sarawak,” ujarnya.
DLP Sarawak mula dilaksanakan pada tahun 2020, bermula dengan pelajar Tahun 1.