Sarawak ikut Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Persekutuan-Abang Johari
KUCHING-- Sarawak menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selaras pembaharuan Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, dengan menerima pakai SSPA, Sarawak akan menanggung sejumlah RM67 juta dalam Belanjawan Negeri 2025.
"Pentadbiran saya juga akan menumpukan perhatian kami kepada kebajikan dan kesejahteraan penjawat awam negeri memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Justeru, selaras dengan pembaharuan Perkhidmatan Awam Kerajaan Persekutuan, saya dengan sukacitanya memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa Perkhidmatan Awam Sarawak telah menerima pakai SSPA yang diumumkan baru-baru ini yang mana penerimaan SSPA ini akan menanggung sejumlah RM67 juta dalam Bajet 2025," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Negeri 2025 (Rang Undang-Undang Perbekalan (2025), 2024 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Untuk makluman SSPA merupakan sistem saraan terkini perkhidmatan awam yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Dalam pada itu, Abang Johari berkata, untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam negeri, sebanyak RM18.5 juta akan diperuntukkan dalam Belanjawan Negeri 2025 untuk latihan dan inisiatif pembangunan perkhidmatan awam.
Menyedari kepentingan kesejahteraan penjawat awam negeri, katanya kerajaan Sarawak akan melaksanakan beberapa siri inisiatif pada 2025 yang bertujuan untuk menggalakkan pembangunan holistik kesejahteraan penjawat awam negeri yang mana sebanyak RM1.8 juta diperuntukkan untuk inisiatif itu.
"Pentadbiran saya juga komited untuk menangani masalah kekurangan perumahan kerajaan untuk penjawat awam.
"Sehubungan itu, kami akan membina perumahan dan kemudahan baharu untuk penjawat awam di seluruh Sarawak, dengan nilai skim RM3.55 bilion.
"Pembinaan dijangka akan dimulakan pada 2025 dengan peruntukan awal sebanyak RM200 juta," ujarnya.
Mengenai Elaun Khas Perkhidmatan Awam Sarawak pula, beliau berkata, sebanyak RM102 juta diperuntukkan pada 2025.
"Oleh itu, saya menggesa semua penjawat awam untuk meneruskan dedikasi dan usaha gigih mereka dalam meningkatkan produktiviti mereka dan menyampaikan perkhidmatan yang berkesan kepada rakyat," tegasnya.