RM100 juta diperuntuk laksana Program Sejahtera Komuniti MADANI seluruh Sarawak-Fadillah
KABONG-- Kira-kira RM100 juta diperuntuk untuk seluruh Sarawak bagi melaksanakan Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata Program Sejati MADANI diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meningkatkan sosial ekonomi masyarakat, yang mana disediakan maksimum RM100,000 untuk permohonan sebarang projek bagi meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat.
"Untuk seluruh Sarawak peruntukan disediakan lebih kurang RM100 juta dan Kabong antara yang paling banyak menerima peruntukan ini.
"Oleh itu, saya berharap Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) akan memanfaatkan sebaik mungkin peruntukan ini demi kesejahteraan dan meningkatkan sosioekonomi masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Sejahtera Komuniti MADANI (Sejati MADANI) Daerah Kabong di sini hari ini.
Pada majlis itu, Fadillah menyerahkan cek berjumlah RM8,397,110 untuk 88 JKKK di Daerah Kabong yang mana RM100,000 untuk setiap JKKK.
Dalam majlis itu juga beliau turut menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Cashless Society Kabong di Pusat Penjaja, Kabong.
"Terima kasih banyak-banyak dengan penduduk Kabong, walaupun hujan, tetapi ramai yang hadir untuk memeriahkan majlis kita hari ini," tambahnya.
Mengenai Program Cashless Society Kabong Fadillah berkata pendekatan transaksi tanpa tunai oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) yang dilancar di Kabong hari ini amat dialu-alukan dan selari dengan kepesatan pembangunan teknologi dan Revolusi Industri 4.0.
"Syabas dan tahniah BSN kerana melancarkan Program Cashless Society di Kabong ini.
"Namun dalam memanfaatkan teknologi baharu ini kita perlu berhati-hati dengan scammer.
"Perlu ada ilmu dan kemahiran supaya teknologi baharu dapat dimanfaatkan secara selamat," jelasnya.
Menurutnya lagi inisiatif masyarakat tanpa tunai ini bukan benda baru bagi orang Sarawak kerana kepimpinan Sarawak sebelum ini sudah memperkenalkan aplikasi dompet elektronik atau e-Dompet yang dikenali sebagai ‘S Pay Global‘ (Sarawak Pay).
"Justeru, konsep yang diperkenalkan BSN ini adalah selari dengan visi Kerajaan Sarawak," ujarnya.