Penjawat awam Sarawak dapat dua bulan bonus, penjawat awam persekutuan dapat RM700
KUCHING-- Kerajaan Sarawak mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan mengikut gaji pokok terakhir November 2024.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, BKK itu sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen anggota Perkhidmatan Awam Sarawak.
"Tahun 2024 telah menyaksikan banyak kejayaan dicapai oleh Sarawak dalam pelbagai bidang.
"Ini adalah hasil sumbangan semua pihak, termasuk anggota Perkhidmatan Awam Sarawak.
"Sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan dan komitmen anggota Perkhidmatan Awam Sarawak, sukacitanya saya ingin mengumumkan Pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan mengikut gaji pokok terakhir bulan November 2024," katanya ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Jelasnya, pembayaran BKK ini akan dibuat pada bulan Disember 2024.
Selain penjawat awam negeri, Abang Johari turut mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 untuk penjawat awam persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.
"Kita juga berterima kasih atas sumbangan anggota Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak.
"Bagi menghargai jasa dan khidmat bakti mereka, saya ingin mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM700 seorang secara one-off yang akan dibayar pada suku pertama Tahun 2025," katanya.
Tambahnya, jumlah keseluruhan implikasi kewangan bagi kedua-dua insentif BKK tersebut adalah dianggarkan sebanyak RM190 juta.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kerajaan Sarawak akan menerima pakai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, ia akan melibatkan penambaikan dan penyelarasan gaji semua anggota Perkhidmatan Awam di Sarawak.
Menurutnya, sebagai tambahan kepada penyelarasan gaji dalam SSPA, mulai Januari 2025, Kerajaan GPS juga bersetuju untuk memperkenal dan memberi elaun khas bulanan kepada anggota Perkhidmatan Awam Sarawak.
"Ia berdasarkan gred Kumpulan dengan kadar seperti berikut: RM400 bagi Kumpulan Pelaksana Gred 1 hingga Gred 4; RM500 bagi Kumpulan Pelaksana Gred 5 hingga Gred 8; RM600 bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 9 hingga Gred 15; dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi akan menerima elaun khas sebanyak RM 700.
"Justeru, Kerajaan GPS di bawah kepimpinan saya sentiasa prihatin terhadap kebajikan anggota Perkhidmatan Awam Sarawak," ujarnya.